TAJUK:PEMBENTUKAN
MALAYSIA
KOD
& NAMA KURSUS:DUB1012(PENGAJIAN MALAYSIA)
JABATAN:JABATAN
KEJURUTERAAN MEKANIKAL
NAMA:SAMUEL
LIDOM ANAK BRIAN.
NO.PENDAFTARAN:05DKM18F1127
NAMA
PENSYARAH:PUAN NURIZAN BINTI SAURY.
POLITEKNIK:POLITEKNIK
KUCHING SARAWAK.
PENGHARGAAN
Terlebih dahulu saya ingin
mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada pensyarah Pengajian
Malaysia saya, Puan Nurizan Binti Saury di atas bimbingan,tunjuk ajar dan
saranan yang bernas serta kesudian beliau meluangkan masa mengadakan sesi
perbincangan sepanjang E-Folio ini dijalankan.Jasa dan sumbangan yang
dicurahkan selama ini akan dihargai dan dikenang buat selama-lamanya.
Penghargaan ini juga
ditujukan kepada ibu-bapa saya yang telah banyak membantu dan memberikan
sokongan moral kepada saya untuk menyiapkan E-Folio ini.
Penghargaan ini juga
ditujukan kepada rakan-rakan sekursus saya serta semua yang terlibat sama ada
secara langsung atau tidak langsung membantu menjayakan E-Folio ini.Jasa kalian
akan saya kenang sehingga ke akhir hayat.
PEMBENTUKAN
MALAYSIA
PENGENALAN
Malaysia yang wujud pada hari ini mempunyai sejarah
pembentukan yang panjang.Pada peringkat awal,ia dikenali sebagai Tanah Melayu
atau Malaya. Setelah mencapai kemerdekaan, Parti Perikatan yang memerintah
Tanah Melayu mendapati keadaan politik yang tidak aman di negara-negara jiran
boleh memberi kesan kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Justeru, Perdana Menteri
Tanah Melayu yang pertama pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah
menyuarakan hasrat pembentukan Gagasan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu,
Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei.
FAKTOR-FAKTOR
PEMBENTUKAN MALAYSIA
1)MENGELAKKAN
ANCAMAN DAN PENGARUH KOMUNIS
Pengaruh komunis yang
semakin meluas di Asia Tenggara, terutama Singapura membimbangkan Kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu. Pengaruh komunis mula merebak ke dalam parti yang
memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) di
bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kukuh
apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang
dipimpin oleh Lim Chin Siong.
2)MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK,
BRUNEI DAN SINGAPURA
Melalui penubuhan
Persekutuan Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan
Singapura akan memperolehi kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan.Hal
ini kerana negara-negara tersebut masih lagi berada di bawah penjajahan British
semasa cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkkan
di bawah status negeri jajahan, manakala Singapura
dan Brunei diletakkan di bawah negeri naungan.
Dalam perancangan penubuhan
Persekutuan Malaysia, Malaysia akan ditubuhkan dalam tempoh dua
tahun.Akan Tetapi jika Sabah dan Sarawak cuba mencapai kemerdekaan secara
berasingan, besar kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan tercapai biarpun dalam
tempoh lima tahun ataupun sebaliknya.Oleh itu, dengan
menyertai Malaysia, Kemerdekaan Sabah dan Sarawak dapat
dipercepatkan.
Dalam tahun-tahun 1960-an,
kerajaan British sebenarnya sedang dalam proses pertimbangan untuk memberi
kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Namun,Sabah
dan Sarawak merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia
untuk merdeka apatah lagi untuk berdikari kerana suasana ekonomi dan politiknya
yang kurang memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa kerajaan British
tidak bercadang untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak walaupun
dalam masa lima tahun. Oleh itu, Tunku percaya dengan membawa masuk
Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia akan lebih memudahkan dan
mempercepatkan kemerdekaan dua wilayah ini disamping dapat mengelakkan hasrat
komunis untuk membentuk tampuk pemerintahannya.
Sekiranya kemerdekaan tidak
diberikan kepada wilayah tersebut, pihak British khuatir wilayah tersebut akan
dipengaruhi oleh komunis dan akan menyebabkan British akan hilang kepentingan
ekonomi dan sosial pada masa yang akan datang. Disamping itu, terdapat juga
pengaruh-pengaruh luar seperti Filipina dan Indonesia yang berminat
terhadap negeri Sabah, Sarawak dan Brunei.
3)PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI
Melalui Persekutuan
Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan
perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak langsung, negara-negara anggota
yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang
miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan
pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum
maju dari segi ekonominya.
Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pula
akan menjadi penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana Tanah Melayu
kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber
minyaknya. Manakala Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi sekiranya
menyertai Persekutuan Malaysia.
4)MEMBELA MASYARAKAT
BUMIPUTERA DI SABAH DAN SARAWAK.
Sebelum
penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, nasib penduduk di wilayah ini
tidak sama dengan nasib penduduk di Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya
golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah
tersebut dipegang oleh bangsa asing. Sebahagian besar penduduk pula terlibat
dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem penanaman tetap hanya
pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua wilayah tersebut digabungkan ke dalam
Persekutuan Malaysia, Kemungkinan layanan istimewa akan diberikan kepada
penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar.
Malahan,
kedudukan dan keistimewaan Bumiputera telah termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan Malaysia. Sistem perhubungan di kedua-dua
wilayah ini juga daif kerana infrastrukturnya masih bergantung pada
sungai-sungai dan perjalanan udara. Adalah sukar untuk mewujudkan perhubungan
darat secara besar-besaran. Selain itu, golongan Bumiputera di kedua-dua
wilayah ini juga tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan British
manakala orang-orang luar yang datang ke wilayah ini diberi perhatian. Justeru,
tahap pendidikan, penguasaan ekonomi, kadar celik huruf dan pengisian jawatan
kerajaan lebih tinggi di kalangan orang luar. Kaum Bumiputera yang mempunyai
pendidikan tinggi sangat sedikit dan faktor ini membataskan peluang mereka
untuk menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.
5)MENJAGA KEPENTINGAN DAN
HAK KAUM BUMIPUTERA
Menurut Tunku Abdul Rahman,
gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti
Sabah, Sarawak dan Brunei bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura
sahaja. Jika Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, ini akan
menghilangkan majoriti penduduk Melayu. Ini kerana Singapura mempunyai 80%
penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah
Melayu, penduduk bukan Melayu akan menjadi golongan terbesar.
Apabila pencantuman berlaku
antara Tanah Melayu dan Singapura sahaja, bilangan masyarakat Cina akan menjadi
43.5%, sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini kerana anggaran penduduk Tanah
Melayu pada tahun 1960, orang Melayu kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%.
Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum
Bumiputera termasuk Melayu akan menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi
42.4%. Ini bermaksud untuk menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera tidak
terancam, kemasukkan Sabah dan Sarawak membolehkan kumpulan Melayu dan
Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.
REAKSI NEGARA-NEGARA JIRAN
Terdapat tentangan yang
perlu dihadapi dari 2 negara iaitu Filipina dan Indonesia.Filipina membantah
pembentukan Malaysia manakala Indonesia pula cuba menghalang pembentukan
Malaysia.
FILIPINA
Presiden Filipina,Macapagal yang membantah pembentukan Malaysia
Filipina menentang penubuhan
Malaysia dan Kerajaan Filipina di bawah pimpinan Macapagal telah membuat
pengumuman rasmi menuntut hak terhadap Sabah pada Jun 1962.Filipina telah
mendakwa bahawa Sabah masih merupakan sebahagian daripada milik Keultanan
Sulu.Tuntutan ini berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani antara
Sultan Jamalul Alam dengan Baron von Overbeck pada 22 Januari 1878.Baron von
Overbeck kemudian telah menjualkan haknya kepada Alfred Dent pada tahun
1880.Alfred Dent telah menubuhkan syarikat perdagangan yang telah berjaya
menperoleh Piagam Diraja daripada Kerajaan British.
Pada tahun 1881,syarikat ini
Dikenali sebagai Syarikat British Utara Borneo(SBUB) dan kemudiannya menjadi
Syarikat Berpiagam Borneo Utara.Syarikat Berpiagam telah memerintah Sabah
sehingga penjajahan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.Pada tahun 1946,Syarikat
Berpiagam Borneo Utara telah menyerahkan pemerintahan Sabah kepada kerajaan
British.Pajakan ini telah diisytiharkan tamat oleh waris Sultan Sulu yang
terakhir,iaitu Sultan Esmail Kiram pada 22 Januari 1953.Menjelang bulan Jun
1966,Filipina telah mengiktiraf penubuhan Malaysia.Presiden Filipina baru iaitu
Ferdinand Marcos ingin menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia.
INDONESIA
Ilustrasi propaganda mengenai bantahan Indonesia terhadap Pembentukan Malaysia
Presiden Sukarno mengumumkan
dasar konfrantasinya pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang
Malaysia’. Alasan Sukarno ialah kerana Tanah Melayu
membelakangkan Indonesia semasa penubuhan Malaysia. Tindakan ini
adalah kerana penubuhan Malaysiamengancam idea pembentukan empayar Indonesia
Raya. Ianya juga merupakan taktik mengalih perhatian rakyatnya daripada
beberapa masalah dalaman.
Dasar konfrantasi Sukarno
memuncak dengan penghantaran Tentera Indonesia sempadan Sabah
dan Sarawak. Tentara Indonesia juga mendarat di pantai barat
Johor untuk pengintipan. Tindakan ini dapat dibendung sehingga rancangan
konfrantasi ini menjadi semakin lemah. Pada tahun 1965, Sukarno telah
digulingkan oleh Jeneral Suharto. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik
membuat perjanjian damai bagi mengakhiri konfrantasi pada bulan ogos 1966.
PROSES
PEMBENTUKAN MALAYSIA
Proses perbincangan dan
perundingan kearah pembentukan Malaysia adalah panjang dan rumit. Banyak
perkara yang perlu dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan.
Beberapa tindakan juga perlu diambil bagi memastikan pembentukan ini memuaskan
hati semua pihak.
JAWATANKUASA PERUNDINGAN
PERPADUAN MALAYSIA(MSCC)
Pada bulan Julai 1961, satu
mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo
telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin
Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk
menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang
hadir ke mesyuarat tersebut.
Penerangan ini didapati
telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah
tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada persefahaman ini,
mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia.
Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat
dalam pembentukan, sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi
jawatankuasa tersebut. Namun, perwakilan Brunei menganggap diri
mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai
gabungan.
Secara amnya, jawatankuasa
ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas akan
konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak
dan Brunei. Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan
membandingkan idea-idea serta pendapat yang dikemukakan
berhubung Malaysia. Keterangan-keterangan dan perbincangan akan
dilaksanakan dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan
pembentukan Malaysia ini.Selain itu, jawatankuasa juga seboleh mungkin
berusaha mendapatkan kata sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua
daerah terbabit. Semenjak pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah
mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota
Kinabalu) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di
Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.
Dalam perjumpaan-perjumpaan
jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu
dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke
Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang sangat penting.
Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin Sabah
dan Sarawak telah mencapai hasil yang amat memberangsangkan.
SURUHANJAYA COBBOLD
Suruhanjaya Penyiasat
Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan setelah satu rundingan
dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada
bulan November 1961. Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi pada 16 Januari
1962. Suruhanjaya ini dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya,
iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah
Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan
David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan
Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Kerajaan United Kingdom dan
kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju bahawa dengan memasukkan Borneo
Utara dan Sarawak (bersama-sama dengan lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan
Malaysia yang dicadangkan itu, banyak faedah diperoleh rakyat Negara-negara
yang berkenaan. Matlamat penubuhan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat
fikiran rakyat Borneo Utara dan Sarawak berkenaan hal ini dan membuat
syor-syor setelah menimbangkan fikiran itu.
Suruhanjaya ini menjalankan
tugasnya selama dua bulan bermula pada 19 Februari 1962 dan berakhir pada bulan
April 1962. Dalam tempoh dua bulan tersebut, Suruhanjaya Cobbold telah
mengadakan 50 perjumpaan di 35 buah tempat, iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah
serta telah menemui lebih daripada 4000 orang yang mewakili kira-kira 690 buah
kumpulan. Selain itu, suruhanjaya ini juga mempelawa dan menerima surat-surat
atau memorandum daripada orang ramai untuk menyuarakan pandangan mereka. Semasa
menjalankan tugasnya, suruhanjaya telah menerima lebih daripada 2000 (lebih
kurang 600 pucuk surat dari Sabah dan selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang
dikemukakan sama ada oleh lembaga-lembaga bandaran, ketua-ketua kaum, Majlis
Daerah, parti-parti politik, persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan,
pemimpin-pemimpin agama mahupun orang perseorangan.
Daripada keseluruhan kerja
atau tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold ini, jelas mereka membuat
tinjauan serta penyiasatan secara menyeluruh dan mewakili sebahagian besar
penduduk di kedua-dua wilayah tersebut.
Suruhanjaya Cobbold
menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah
laporan penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan Persekutuan Tanah Melayu
pada bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada
penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar
daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan
masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:
a)1/3
daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan tanpa syarat
b)1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.
c)1/3
lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya
yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British. Bilangan yang menentang
ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.
JAWATANKUASA ANTARA
KERAJAAN
Selepas Suruhanjaya Cobbold
membuat laporan yang agak memuaskan, tugas untuk merangka syarat-syarat
Persekutuan secara terperinci telah dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang
dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang diketuai oleh Lord Landsdowne
yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan
Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah
dan Singapura.
Jawatankuasa ini telah
membentuk satu perlembagaan khususnya yang melibatkan permintaan Sabah dan
Sarawak berdasarkan memorandum yang diterima daripada parti-parti politik di
Sabah dan Sarawak.
Laporan yang dibuat oleh
jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan
Laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa
Perundingan Perpaduan Malaysia sebagai asas. Perlembagaan yang dibentuk ini
telah disahkan oleh kerajaan British pada 9 Julai 1963. Antara perkara yang
menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut ialah :
a) Agama Islam
dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.
b)Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia,
tetapi kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawakuntuk menggunakan
bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun selepas kemasukan
ke dalam Persekutuan.
c) Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan
diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di
bawah kawalan kerajaan pusat. Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah
dan Sarawak bahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara
tersebut.
d) Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat
pindaan.
e)Sabah
diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura
15 buah kerusi.
REFERENDUM SINGAPURA
Jika peristiwa di Sabah dan
Sarawak melibatkan penyiasatan oleh Suruhanjaya Cobbold, Singapura turut
membuat satu pungutan suara yang dipanggil Referendum Singapura. Kerajaan
Singapura membuat keputusan untuk mengadakan referendum sebagai satu cara
meninjau pendapat penduduk Singapura untuk mendapatkan kepastian dan pendirian
rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia. Secara keseluruhan,
pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat Singapura menolak
penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan pendirian mereka
yang tertentu.
Kerajaan Singapura membuat
keputusan ini kerana yakin sebahagian besar parti politik di Singapura
menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan pendirian mereka juga
perlu diambilkira. Soal menolak sudah tidak wujud, tetapi soal penubuhan perlu
dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura diberi tiga pilihan, iaitu
:
Pilihan
A – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan
oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada
bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi).
Pilihan
B – rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan
menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu
(secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442 undi).
Pilihan
C – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama
seperti yang diperoleh wilayah-wilayahBorneo dengan penyertaan ini (secara
keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).
Referendum Singapura ini
telah diadakan pada 1 November 1962. Barisan Sosialis dan pihak komunis yang
tidak bersetuju untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu telah memulau
pungutan suara dengan membuang undi kosong. Namun selepas referendum selesai,
laporan menunjukkan 71% pengundi menyokong pembentukan Malaysia.
Penganalisis sejarah mendakwa sokongan Singapura ini
adalah ekoran kejayaan kerajaan PAP meyakinkan rakyat berhubung tiada
kemungkinan taraf kerakyatan mereka akan dilucutkan dengan penggabungan,
perdagangan antarabangsa Singapura mungkin merosot jika mereka tidak bergabung
dan ancaman komunis akan dapat dibendung dengan jayanya dengan pembentukan ini.
Secara keseluruhannya, keputusan ini menunjukkan rakyat Singapura bersetuju
untuk menyertai Malaysia dengan memilih syarat A, iaitu pilihan yang
dicadangkan oleh kerajaan Singapura sendiri.
PEMISAHAN SINGAPURA
Semenjak Singapura
menyertai Malaysia, banyak perselisihan yang timbul antara kerajaan Singapura
dengan kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur. Perselisihan ini menjadi semakin
rumit dan melibatkan banyak isu yang tiada akhirnya. Malahan tidak mungkin
untuk Singapura terus kekal dalam Malaysia tanpa suasana tegang yang
boleh mencetuskan keganasan. Para pemimpin Malaysia, terutamanya Tunku Abdul
Rahman berpendapat lebih wajar Singapura berpisah daripada Malaysia sebagai
jalan keluar terbaik untuk mengatasi pelbagai krisis yang timbul, demi
kepentingan perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan menghindarkan konflik
politik yang berterusan. Akhirnya Singapura berpisah dari Malaysiapada
Ogos 1965.
FAKTOR YANG MENYEBABKAN
PEMISAHAN SINGAPURA DARI MALAYSIA
1)PERLEMBAGAAN
Kebanyakkan soal yang
berkaitan dengan perlembagaan berkisar tentang isu ekonomi dan kewangan.
Mengikut perjanjian Malaysia, Singapura diberi kuasa untuk memungut cukai
kastam, cukai eksais dan cukai pendapatan. Selain beberapa kekecualian, semua
hasil yang dikutip akan dibahagikan berasaskan 60% untuk Singapura dan baki 40%
lagi untuk kerajaan Persekutuan. Oleh sebab beban cukai Singapura paling ringan
dan bertambahnya perbelanjaan pertahanan, akibat konfrontasi, kerajaan
Persekutuan bercadang mengkaji semula agihan hasil dan Singapura perlu
menyerahkan 60% daripada jumlah hasilnya dan bukanya 40% seperti yang
dipersetujui sebelumnya. Cadangan ini dibantah oleh Singapura kerana mengikut
perjanjian Malaysia, terdapat satu persetujuan bahawa sehingga bulan
Disember 1968, kerajaan Persekutuan perlu mendapat kebenaran kerajaan Singapura
sebelum mengenakan cukai import yang baharu. Kebenaran itu boleh ditangguhkan,
jika sesuatu jenis cukai itu boleh menjejaskan perdagangan bebas Singapura.
Pada bulan Disember 1964,
apabila kerajaan Persekutuan membentangkan belanjawan bagi tahun 1965, terdapat
pelbagai cukai baharu yang dikenakan. Kerajaan Singapura membantah pengenalan
cukai-cukai baharu kerana mereka dikatakan tidak dibawa berunding terlebih
dahulu. Pada akhir bulan Februari 1965, Menteri Kewangan, Tan Siew Sin
mengarahkan para pengusaha di Singapura berunding dahulu dengan kerajaan
Persekutuan tentang perlindungan tarif, sebelum membuka kilang. Arahan ini
menimbulkan kemarahan para pengusaha di Singapura sehingga mendapat liputan
media yang meluas.
2)PERSAINGAN POLITIK
ANTARA PAP DAN MCA
Keadaan ini dapat dilihat
apabila pada 9 September 1963, Lee kuan Yew telah menyatakan bahawa kegiatan
politik PAP hanya terbatas di Singapura dan PAP tidak bercadang untuk mengambil
bahagian dalam pilihanraya di anah Melayu dalam tempoh lima tahun selepas
penyatuan. Kemudianya, PAP mengubah keputusan itu dan bertanding dalam
pilihanraya umum di Tanah Melayu pada tahun 1964. Pada masa tersebut Tunku
Abdul Rahman menegaskan bahawa PAP tidak diperlukan di Tanah Melayu atas
sifatnya sebagai sebuah parti perkauman Cina. Penglibatan PAP yang terlalu awal
dalam kegiatan politik di Tanah Melayu juga menjejaskan perpaduan kaum,
terutama hubungan UMNO dengan MCA. Malahan, PAP dikatakan berminat untuk
mengantikan MCA bagi mewakili kaum Cina dalam Kerajaan Perikatan.
3)MASALAH PERKAUMAN
Masalah perkauman ini dapat
dilihat pada hubungan antara UMNO dengan PAP yang menjadi semakin renggang
akibat beberapa peristiwa yang berlaku di Singapura. Setelah
menyertai Malaysia, orang Melayu di negeri itu ‘berasa diri mereka
diabaikan’ dan kerajaan Singapura tidak mengambil tindakan untuk membaiki
kedudukan mereka. Oleh itu, beberapa buah pertubuhan yang mewakili orang Melayu
menemui Tunku Abdul Rahman untuk melaporkan perkara itu.
Sikap para pemimpin politik
di Singapura yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia juga
kurang disenangi oleh para pemimpin UMNO. Konsep ini seolah-olah mengenepikan
institusi dan mencabar kedudukan istimewa orang Melayu. Pada bulan Mei 1965,
Lee Kuan Yew menubuhkan Malaysian Solidarity Convention sebagai
satu pakatan dikalangan parti pembankang dengan slogan A democratic
MalaysianMalaysia untuk menandingi parti Perikatan. Beliau menyeru
diwujudkan satu ‘persamaan hak bagi semua” melalui satu ideologi politik,
sosial dan ekonomi yang sama untuk semua kaum.
Kedudukan negeri-negeri di
Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam
Persekutuan Malaysia juga ditimbulkan oleh para pemimpin Singapura.
Mereka menggalakkan negeri-negeri itu menimbulkan soal perbezaan taraf ekonomi
dan prinsip-prinsip perlembagaan yang telah dipersetujui sehingga sesetengah
pemimpin di Sarawak, Sabah dan negeri-negeri lain bertindak balas.
Memandangkan sebahagian besar pihak pembangkang terdiri daripada bukan Melayu,
keadaan ini seolah-olah mencerminkan penentangan mereka terhadap orang Melayu
yang menguasai kerajaan. Keadaan yang berlaku bukan lagi berbentuk pertikaian
antara PAP dengan UMNO, tetapi lebih menjurus rebutan kuasa politik antara kaum
Melayu dengan bukan Melayu
4)PERBEZAAN PENDEKATAN
ANTARA PARTI PERIKATAN DAN PAP
PAP berhasrat untuk
mewujudkan masyarakat ‘bukan perkauman’ secara serta-merta dan berpendapat
konflik timbul akibat wujudnya dua bentuk masyarakat yang berlainan. PAP
berminat untuk berdebat secara terbuka dalam hampir semua isu politik dan
melaksanakan dasar-dasar baharu dengan segera. Parti Perikatan terutama UMNO
merupakan parti yang dibentuk dengan struktur perkauman berdasarkan masyarakat
majmuk yang sedia wujud di Malaysia. Parti Perikatan berpendapat
perbincangan secara terbuka tentang perbezaan kaum boleh mencetuskan ketegangan
dan kekacauan. Perbezaan pendekatan dalam menghadapi isu-isu perkauman ini
mencetuskan pergeseran antara Parti Perikatan dengan PAP.
KESIMPULAN
Hubungan yang tegang antara
Singapura dengan Kerajaan Persekutuan akhirnya tiba dikemuncaknya menjelang Mei
1965 sehingga menimbulkan kebimbangan Tunku Abdul Rahman yang berpendapat
Singapura perlu disingkirkan dari Malaysia. Pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul
Rahman membuat pengumuman rasmi di Parlimen dan membentangkan rang
undang-undang pemisahan Singapura. Rang undang-undang tersebut diluluskan dan
tiada yang menentang atau berkecuali dan keputusan itu diambil tanpa dihadiri
oleh perwakilan Singapura. Pemisahan ini menamatkan pertikaian politik yang
berlarutan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan
Singapura. Pertikaian itu jika dibiarkan berterusan boleh memburukkan lagi
keadaan sehingga mencetuskan rusuhan kaum dan pertumpahan darah. Setelah
pemisahanSingapura, Malaysia hanya terdiri daripada Persekutuan Tanah
Melayu, Sabah dan Sarawak.
SUMBER:
1)Buku Rujukan XPRESS SUKSES SPM SEJARAH TINGKATAN
4&5(SASBADI Sdn.Bhd.)
2)Buku Rujukan PETA MINDA VISUAL SPM SEJARAH KERTAS 3 TINGKATAN
4&5(PNI NEURON Sdn.Bhd.)
3)Buku Teks Sejarah Tingkatan 5.
4)https://ms.wikipedia.org/wiki/Proses_Pembentukan_Persekutuan_Malaysia_1963
No comments:
Post a Comment